Thursday, January 12, 2012

UMT bantu industri akuakultur di Aceh

KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin usaha sama dengan kerajaan Indonesia dalam usaha membantu membangunkan semula industri akuakultur di Wilayah Aceh.

Institusi itu menganjurkan Kursus Akuakultur dan Teknik Pembiakan Ikan baru-baru ini yang disertai oleh 31 kakitangan Jabatan Perikanan Aceh serta Sekolah Vokasional Perikanan dan Pertanian wilayah berkenaan.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman berkata, pendekatan yang diambil pusat penyelidikan Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) dalam menganjurkan kursus itu dapat memulihkan semula industri itu yang lumpuh ekoran tsunami tujuh tahun lalu.

Menurutnya, sebagai sebuah pusat penyelidikan yang fokus kepada pembangunan akuakultur air tawar dan marin, Akuatrop diharap dapat melahirkan lebih ramai penggerak dalam bidang perikanan.

"Selain melatih dan memberi kursus berkaitan perkara itu, program hampir sebulan itu turut berperanan menggerakkan hubungan sosial dan akademik antara kedua-dua negara, seterusnya membuka peluang lebih besar dalam bidang ini.

"Pelbagai program telah dijayakan antaranya melibatkan modul ternakan ketam, pembenihan ikan kelah, kerapu, tiram, udang serta perancangan dan pengurusan yang melibatkan ternakan air tawar dan masin," katanya.

Beliau berkata demikian pada kursus berkenaan di UMT dekat sini baru-baru ini yang turut dihadiri oleh wakil Kedutaan Besar Indonesia, Menteri Kaunselor Politik, Djoko Harjanto dan Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Faizah Mohd. Shaharom

Tambah Aziz, kursus itu selaras dengan peranan Akuatrop untuk memberi khidmat nasihat dan pemindahan teknologi dalam industri akuakultur melalui pengendalian kursus-kursus pendek, latihan, penganjuran bengkel dan seminar.

Sementara itu Djoko memberitahu, akibat tsunami tujuh tahun lalu, seramai 2,879 guru, lebih 700 profesor dan pensyarah, 105 doktor perubatan, 711 jururawat terkorban atau hilang semasa bencana itu.

"Bukan sahaja peralatan dan kelengkapan logistik musnah, ramai pakar dan pengamal akuakultur terkorban dan dengan kursus ini diharap dapat membantu melahirkan penggiat baru seterusnya dapat membangun semula industri itu di wilayah Aceh," ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments:

Post a Comment